SEPANG – Ekosistem keselamatan penerbangan negara terus diperkukuh dengan penambahan 201 anggota baharu Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Skuad 31/2025 yang berjaya menamatkan latihan asas intensif secara bersepadu di Pusat Latihan Polis Air Hitam (PULAPAH), Negeri Sembilan dan School of Aviation Security, Malaysia Airports Academy.
Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas ini yang berlangsung di Perkarangan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) telah disempurnakan dengan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Bin Hj. Ismail, Ketua Polis Negara; Dato' Sri Mohd Yusri Bin Hj. Hassan Basri, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, PDRM Bukit Aman; Dato' Pahlawan Shazeli Dato' Kahar, Ketua Polis Selangor; Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pengerusi Malaysia Airports dan Dato’ Mohd Izani Ghani, Pengarah Urusan Malaysia Airports.
Sebagai pengendali rangkaian lapangan terbang utama negara, Malaysia Airports memikul tanggungjawab untuk memastikan setiap lapangan terbang kekal selamat dan diyakini. Keselamatan yang kukuh antara pemangkin utama pertumbuhan dan oleh itu merupakan prasyarat kepada pertumbuhan yang mampan. Pada tahun 2025, hampir 105 juta penumpang telah dikendalikan di seluruh Malaysia, meningkat 11% berbanding 2024. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pertumbuhan ini dijangka berterusan dengan keperluan keselamatan yang lebih tinggi dan semakin kompleks, sekali gus menjadikan peranan keselamatan penerbangan (AVSEC) semakin kritikal.
Program Latihan Asas ini dirangka untuk melahirkan anggota keselamatan yang berdaya tahan, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan global. Sepanjang tempoh enam bulan, para pelatih menjalani latihan berstruktur merangkumi disiplin dan latihan luar, akademik serta kecekapan khusus, sekali gus mencerminkan tahap profesionalisme tinggi yang menjadi teras operasi keselamatan Malaysia Airports.
Majlis Tamat Perbarisan Latihan Asas Pembantu Keselamatan Penerbangan Skuad 31/2025 ini turut dilengkapi dengan penyampaian sijil tamat latihan dan pelantikan Polis Bantuan Malaysia Airports, serta pengiktirafan kepada pelatih terbaik dalam kategori latihan luar, akademik dan keseluruhan.
Malaysia Airports akan terus melabur secara berterusan dalam pembangunan modal insan keselamatan sebagai komponen kritikal bagi menjamin keselamatan penumpang, melindungi infrastruktur strategik serta mengekalkan keyakinan industri penerbangan global, selaras dengan aspirasi negara untuk kekal sebagai hab penerbangan serantau bertaraf dunia.