SEPANG - Seramai 15 pegawai dan 301 anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) telah berjaya ditauliahkan hari ini dalam Majlis Tamat Perbarisan Asas (Passing-Out Parade). Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, YDH Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin Husain; Pengerusi Malaysia Airports, Dr Nungsari Ahmad Radhi; serta Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak pengurusan tertinggi Malaysia Airports, ahli keluarga para pelatih, dan tetamu lain.
Menurut Dr. Nungsari Ahmad Radhi, “Keselamatan penumpang dan lapangan terbang sentiasa menjadi keutamaan Malaysia Airports. Seiring dengan tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, aspek keselamatan di lapangan terbang menjadi lebih kritikal, terutamanya dalam memastikan kelancaran pengalaman penumpang yang akan berkunjung. Justeru, kami bukan sahaja memberi penekanan terhadap latihan dan pembangunan modal insan, tetapi juga melabur dalam teknologi keselamatan terkini bagi memperkukuh keupayaan AVSEC.”
Majlis Tamat Perbarisan Asas yang diadakan hari ini bertujuan memberikan pengiktirafan rasmi kepada pegawai dan pembantu keselamatan penerbangan sebagai barisan hadapan yang bertanggungjawab menjaga lapangan terbang, sebuah infrastruktur penting negara.
Kesemua pegawai dan pembantu Keselamatan Penerbangan ini telah berjaya menyelesaikan latihan yang komprehensif dan kini dilatih untuk menjalankan tugas mereka dengan cekap dan profesional. Dengan pentauliahan pegawai dan anggota baharu ini, jumlah keseluruhan kekuatan AVSEC Malaysia Airports kini mencapai 3,743 di 39 lapangan terbang di bawah kendaliannya, menjadikan AVSEC MAHB pasukan polis bantuan terbesar dalam sektor korporat di Malaysia.
Para pelatih menjalani latihan selama enam bulan, dengan dua fasa utama. Fasa pertama adalah latihan intensif selama dua bulan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), memberi fokus kepada asas ketenteraman awam dan disiplin keselamatan. Latihan diteruskan selama empat bulan seterusnya di Pusat Latihan Malaysia Airports, termasuk ‘On-Job-Training’ selamat dua bulan, yang memberi pengalaman praktikal di lapangan.
Silibus latihan adalah menyeluruh, merangkumi aspek teknikal dan teori. Para pelatih diajar kemahiran menembak untuk mengasah keupayaan pengendalian senjata api dalam situasi keselamatan. Mereka juga dilatih dalam seni mempertahankan diri, untuk menangani situasi kecemasan dengan kecekapan fizikal, serta aktiviti kawad yang bertujuan meningkatkan disiplin dan koordinasi.
Dari segi akademik, pelatih diberi pemahaman dalam undang-undang polis dan undang-undang penerbangan awam, untuk memastikan pematuhan yang ketat terhadap peraturan keselamatan negara dan sektor penerbangan. Di majlis ini, pencapaian individu turut diraikan melalui beberapa kategori anugerah utama, termasuk Anugerah Terbaik Akademik, Anugerah Terbaik Latihan Luar, dan Anugerah Keseluruhan.
KESELAMATAN LAPANGAN TERBANG DIPERKUKUHKAN DENGAN PENTAULIAHAN PEGAWAI DAN ANGGOTA KESELAMATAN PENERBANGAN
News Title En
KESELAMATAN LAPANGAN TERBANG DIPERKUKUHKAN DENGAN PENTAULIAHAN PEGAWAI DAN ANGGOTA KESELAMATAN PENERBANGAN
News Cards Published
On
News Cards Created At
News Cards Updated At
News Description En
News Date