SEPANG – Minat generasi muda terhadap industri penerbangan, dipupuk melalui program Educational Airport Tour yang memberi peluang kepada pelajar mengenali operasi lapangan terbang dan meneroka potensi kerjaya dalam bidang ini.
Program lawatan sambil belajar pada kali ini melibatkan tiga buah Sekolah Angkat MADANI Malaysia Airports termasuk SK dan SMK Sungai Rawang di Sepang, serta SK Lubok Nibong di Marudi, Sarawak. Buat pertama kali, program ini turut diperluas kepada komuniti sekitar Padang Terbang (STOLport) Marudi, menjadikan pengalaman pembelajaran lebih inklusif dan bermakna kepada pelajar luar bandar.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Dato’ Mohd Izani Ghani, berkata program ini merupakan salah satu inisiatif bagi memberi pendedahan yang lebih mendalam kepada pelajar mengenai operasi lapangan terbang. “Lapangan terbang bukan sekadar tentang menguruskan kapal terbang berlepas dan mendarat, ia merupakan gabungan sains, teknologi, dan kepakaran daripada pelbagai bidang. Semoga pengalaman ini membangkitkan minat untuk terus belajar dan meneroka industri penerbangan sama ada dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pengurusan, komunikasi atau khidmat pelanggan kerana industri penerbangan menawarkan peluang kerjaya yang sangat luas untuk semua.”
Bagi program Education Airport Tour di KLIA pada hari ini, seramai 40 pelajar dan 10 guru dari SMK Sungai Rawang, Sepang telah menyertai lawatan ini. Mereka berpeluang melihat secara dekat operasi harian di lapangan terbang, termasuk lawatan ke Balai Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang, sesi taklimat bersama pasukan Keselamatan Penerbangan, Operasi Terminal, serta Pengurusan Pengalaman Pelanggan. Rombongan turut dibawa meninjau kemudahan terkini di KLIA.
Sekolah seterusnya yang akan menyertai program ini di bawah inisiatif Sekolah Angkat MADANI Malaysia Airports ialah SK Sungai Rawang, Sepang, yang dijadualkan melawat KLIA pada 29 Oktober, serta SK Lubok Nibong, Sarawak, yang akan melawat Lapangan Terbang Miri pada 3 Disember.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, program Educational Airport Tour telah menjadi platform utama bagi pelajar memahami peranan penting pasukan operasi lapangan terbang dalam memastikan kelancaran perjalanan dan keselamatan penumpang. Sehingga kini, lebih 130 lawatan sambil belajar ini telah dilaksanakan di seluruh negara, melibatkan hampir 6,000 pelajar dan 21 lapangan terbang kendalian Malaysia Airports.
Melalui inisiatif ini, Malaysia Airports bukan sahaja menyokong aspirasi Sekolah Angkat MADANI, tetapi turut memperkukuh peranannya sebagai peneraju tanggungjawab korporat dalam memperkasa pendidikan, membina masa depan mampan serta melahirkan generasi penerbangan masa hadapan.
LAWATAN SAMBIL BELAJAR PUPUK MINAT GENERASI MUDA TERHADAP INDUSTRI PENERBANGAN
News Title En
LAWATAN SAMBIL BELAJAR PUPUK MINAT GENERASI MUDA TERHADAP INDUSTRI PENERBANGAN
News Cards Published
On
News Cards Created At
News Cards Updated At
News Description En
News Date