KESIAPSIAGAAN LAPANGAN TERBANG DIPERKUKUH MENERUSI PENTAULIAHAN 159 ANGGOTA BAHARU AFRS

By bhavani, 25 September, 2025
News Title En
KESIAPSIAGAAN LAPANGAN TERBANG DIPERKUKUH MENERUSI PENTAULIAHAN 159 ANGGOTA BAHARU AFRS
News Cards Published
On
News Cards Created At
News Cards Updated At
News Description En

MELAKA – Kesiapsiagaan lapangan terbang di seluruh negara kendalian Malaysia Airports terus diperkukuh dengan pentauliahan seramai 8 pegawai dan 151 anggota baharu Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang, Airport Fire & Rescue Service (AFRS).

Pentauliahan ini telah diadakan sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas AFRS Siri ke-14 Tahun 2025, yang berlangsung di Lapangan Terbang Melaka hari ini. Majlis disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Menurut Dato’ Mohd Izani Ghani, Pengarah Urusan Malaysia Airports, "AFRS adalah nadi pengurusan kecemasan lapangan terbang”. Dalam apa jua kecemasan, mereka bertindak pantas, berdisiplin dan berani. Dengan hampir 60 juta penumpang menggunakan rangkaian lapangan terbang Malaysia setakat Julai 2025, tahap kesiapsiagaan inilah yang menjadi asas keyakinan dunia, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026."

Ini menunjukkan komitmen Malaysia Airports untuk memastikan perkhidmatan AFRS sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam

(Pengendalian Aerodrom) 2016 serta keperluan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) selari dengan Standard and Recommended Practices yang digariskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). Pematuhan ini memastikan lapangan terbang kita kekal di tahap tertinggi dari segi keselamatan dan operasi.

Kesemua 159 orang pelatih telah menamatkan program latihan intensif selama 23 minggu, yang merangkumi aspek kecergasan fizikal, teori dan teknikal kebombaan serta pengisian kerohanian. Modul latihan termasuk kawad kaki, teknik pemadaman kebakaran pesawat dan bangunan, penggunaan alat pernafasan dan PPE, komunikasi kecemasan, pengendalian jentera bomba, latihan penyelamatan mangsa, pengurusan bahan berbahaya (HAZMAT) dan pembiasaan dengan pesawat dan persekitaran lapangan terbang.

Majlis turut mengiktiraf enam orang penerima anugerah seperti Anugerah Pegawai Kadet Keseluruhan Terbaik, Anugerah Pelatih Anggota Keseluruhan Terbaik, Anugerah Kemahiran Kebombaan Terbaik, Anugerah Akademik Terbaik, Anugerah Kecergasan Jasmani Terbaik dan Anugerah Kawad Kaki Terbaik.

Malaysia Airports merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri melaka, agensi kerajaan dan swasta terutama sekali Pancaragam

Gabungan 10 Briged (Para) dan juga Malaysian Flying Academy (MFA) atas penglibatan dalam menyerikan dan menjayakan majlis ini. 

MAJLIS PERBARISAN TAMAT LATIHAN AFRS SIRI KE-14

SENARAI PENERIMA ANUGERAH KHAS
      1. Anugerah Pegawai Kadet Terbaik - Aliff Danial Bin Adam
      2. Anugerah Pelatih Anggota Terbaik - Adam Danniel Haykal Bin Abdullah
      3. Anugerah Kemahiran Kebombaan Terbaik - Mohamad Najib Bin Dika
      4. Anugerah Akademik Terbaik - Abubakar Farid Bin Michal @ Michael
      5. Anugerah Kecergasan Jasmani Terbaik - Aiman Danial
      6. Anugerah Kawad Kaki Terbaik - Mohamad Ashrafill Bin Aluwi

News Date