Malaysia Airports Sumbang Basikal, Wang Zakat Kepada Komuniti Setempat Di Bario, Marudi

By corporatecmsadmin, 11 August, 2024
News Title En
Malaysia Airports Sumbang Basikal, Wang Zakat Kepada Komuniti Setempat Di Bario, Marudi
News Cards Published
On
News Cards Created At
News Cards Updated At
News Description En

BARIO – Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports), Datuk Badlisham Ghazali memulakan gerak kerja 2016 beliau dengan mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Miri, Bario dan Marudi di Sarawak; yang menempatkan tiga lapangan terbang kendalian syarikat itu iaitu Lapangan Terbang Miri, STOLport (Short Take-Off & Landing Airport) Bario dan Marudi.

Memulakan siri lawatan kerja beliau ke Sarawak di Lapangan Terbang Miri semalam, Badlisham memperuntukkan masa lebih empat jam bersama kakitangan Malaysia Airports di lapangan terbang itu dalam satu sesi dialog yang membincangkan hala tuju perniagaan syarikat itu bagi jangka masa lima tahun akan datang dan juga memberi peluang kepada kakitangan untuk berdialog secara langsung dengan pengarah urusan Malaysia Airports itu.

Meneruskan sesi lawatan kerja beliau ke STOLport Bario pada awal pagi ini, Badlisham menyampaikan sumbangan Malaysia Airports berupa 10 buah basikal, dengan nilai keseluruhan RM5,000, kepada eBario Sdn Bhd (eBario), syarikat tempatan yang bertanggungjawab mengurus dan menjalankan aktiviti-aktiviti pelancongan di daerah Bario dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Dewan Serbaguna Bario.

Majlis penyerahan itu telah disempurnakan oleh Badlisham kepada John Tarawe, Ketua Pegawai Eksekutif eBario. 10 buah basikal itu akan diuruskan selia oleh eBario bagi tujuan aktiviti pelancongan di sekitar Bario dan hasil janaan daripada aktiviti kendalian eBario itu akan disalurkan kepada komuniti Kelabit di Bario.

Di majlis yang sama juga, Malaysia Airports turut menyampaikan sumbangan cek bernilai RM5,000 bagi tujuan membina pondok basikal untuk menempatkan 10 basikal sumbangan syarikat itu. Malaysia Airports juga akan bekerjasama dengan beberapa sekolah menengah di sekitar Bario untuk menganjurkan pertandingan mereka bentuk pondok basikal berkenaan di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang terlibat dan menyediakan hadiah wang tunai kepada pemenang pertandingan mereka bentuk pondok basikal itu.

Badlisham berkata, “Kami di Malaysia Airports amat berbesar hati untuk menyumbang kembali kepada komuniti setempat di mana kami menjalankan operasi perniagaan kami. Kami percaya dengan kelebihan bentuk muka bumi dan keindahan alam semulajadi yang terdapat di Bario, ia mampu memberi kelebihan kepada daerah ini yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai salah satu lokasi tarikan pelancongan di negeri Sarawak”.

Pada sebelah petangnya, Badlisham meneruskan lawatan kerja beliau ke STOLport Marudi dan Malaysia Airports turut menyampaikan wang sumbangan zakat kepada tiga buah surau dan sebuah masjid yang terdapat di daerah Marudi, dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM11,000. Majlis penyerahan sumbangan wang zakat ini disempurnakan oleh Badlisham kepada wakil-wakil surau dan masjid berkenaan dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Padang Terbang Marudi. Sumbangan wang zakat ini akan digunakan untuk tujuan penambahbaikan fasiliti yang sedia ada dan juga untuk menampung kos utiliti dan perbelanjaan pengurusan surau-surau dan masjid berkenaan.

STOLport atau Lapangan Terbang Perlepasan dan Pendaratan Pendek dikendali dan diurus oleh Malaysia Airports terletak di kawasan-kawasan terpencil di Sabah, Sarawak dan tiga pulau di Semenanjung Malaysia. Pada masa ini terdapat 18 STOLport daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian dan pengurusan Malaysia Airports dan tanggungjawab mengurus dan mengendalikan STOLport ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Malaysia Airports dalam memastikan komuniti di kawasan-kawasan terpencil ini mempunyai akses dan kemudahan untuk menerima keperluan bekalan makanan, ubat-ubatan dan pendidikan melalui STOLport.

News Date