WARISAN IRAMA TRADISI DIPERKASA MELALUI SENI REBANA UBI

By Bhavani, 29 October, 2025
News Title En
WARISAN IRAMA TRADISI DIPERKASA MELALUI SENI REBANA UBI
News Cards Published
On
News Description En

KOTA BHARU – Malaysia Airports dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Negeri Kelantan melancarkan inisiatif “MYAirportCARES Lestari Seni: Pemerkasaan & Pemuliharaan Rebana Ubi” di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (KBR) petang tadi, sebagai usaha berterusan memelihara dan memulihara seni rebana ubi, warisan muzik tradisional yang kaya dengan nilai sejarah dan budaya. 

Program ini memfokuskan kepada pemerkasaan komuniti seni tempatan melalui sumbangan kepada Persatuan Kebudayaan Kesenian Awang Selamat bernilai RM140,000 bagi menaik taraf bengkel, pembelian mesin, membaik pulih rebana ubi serta pelaksanaan program perintis. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada tonggak tanggungjawab korporat Malaysia Airports di bawah tema Seni, Budaya dan Warisan Malaysia. 

Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports, Dato’ Mohd Izani Ghani, “Program seperti ini menyediakan ruang dan peluang kepada komuniti seni budaya untuk menjana pendapatan melalui aktiviti kesenian, memastikan kesinambungan seni rebana ubi agar terus diwarisi oleh generasi akan datang, serta memperkukuh ekosistem seni budaya tempatan melalui sokongan yang berstruktur dan berterusan. 

Inisiatif ini juga menjadi platform promosi kepada para pengguna Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra untuk mengenali dengan lebih dekat warisan seni budaya negeri Kelantan, sekali gus menjadikan lapangan terbang sebagai ruang pameran hidup yang memartabatkan seni tempatan. 

Sementara itu, program perintis yang berteraskan impak kelestarian dalam memperkasakan seni rebana ubi ini akan dilaksanakan selama dua tahun di bawah seliaan JKKN Kelantan, melibatkan hampir 30 orang belia di kawasan bengkel persatuan.” 

Malaysia Airports dan JKKN percaya bahawa kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh seni tradisional, malah turut memberi impak kepada pembangunan sosioekonomi komuniti setempat. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen bersama dalam memartabatkan seni budaya sebagai aset penting negara, di samping memberi pendedahan kepada pengguna lapangan terbang terhadap warisan budaya yang semakin dilupakan. 

Pada majlis yang sama, KBR turut meraikan penerbangan sulung Scoot dari Singapura ke Kota Bharu, yang mendarat sekitar jam 9.55 malam dengan membawa kira-kira 50 penumpang. Penerbangan terus dari Singapura ini akan beroperasi dengan kekerapan sebanyak dua kali seminggu. Ketibaan pesawat disambut dengan persembahan kebudayaan rebana ubi dan pemberian cenderamata mini rebana ubi sebagai simbol warisan seni negeri Kelantan.

News Date