MARUDI – Para pelajar sebuah sekolah pedalaman di Marudi, Sarawak kini berpeluang menikmati kemudahan air bersih hasil projek AquaSustain Malaysia Airports di bawah program tanggungjawab korporat MYAirportCARES, yang bertujuan untuk memperkasakan komuniti padang terbang atau short take-off and landing port (STOLport). Projek AquaSustain ini telah dilaksanakan di salah sebuah sekolah angkat Malaysia Airports iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Nibong.
Kemudahan ini melibatkan pemasangan saluran paip air yang disambung terus daripada bekalan punca utama bagi memastikan kualiti air yang diterima oleh 65 pelajar, guru dan kakitangan sekolah selamat digunakan.
Selain kemudahan ini, Malaysia Airports turut menyumbangkan kelengkapan persekolahan kepada semua pelajar termasuk peralatan sekolah dan set lengkap pakaian seragam baharu. Murid-murid juga mengikuti sesi pendedahan tentang kepentingan air bersih dari aspek kebersihan, kesihatan dan amalan gaya hidup sihat.
SK Lubok Nibong merupakan salah satu sekolah angkat Malaysia Airports di bawah Program Sekolah Angkat MADANI. Melalui penglibatan ini, Malaysia Airports menumpukan usaha bukan sahaja dari segi sokongan akademik, tetapi juga dari segi penyediaan persekitaran yang kondusif bagi pembelajaran dan perkembangan pelajar khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports, Dato’ Mohd Izani Ghani, “Melalui MYAirportCARES, terutamanya projek AquaSustain ini, kami berusaha memperkasa anak-anak luar bandar dengan menyediakan peluang dan sokongan yang relevan. Selain bantuan akademik, kami percaya bahawa persekitaran yang kondusif juga merupakan elemen penting dalam membentuk keyakinan diri, meningkatkan kesejahteraan, dan membuka ruang kepada potensi mereka untuk berkembang. Sebagai pengendali lapangan terbang, tanggungjawab sosial kami adalah memastikan komuniti di sekeliling kawasan operasi turut mendapat manfaat.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2018, MYAirportCARES telah memberi impak kepada ribuan pelajar melalui pelbagai inisiatif pendidikan dan kebajikan. Antaranya termasuk program Ceria Kembali ke Sekolah yang telah menyalurkan bantuan persekolahan kepada lebih 4,500 pelajar serta program lawatan sambil belajar ke lapangan terbang yang memberikan pendedahan awal mengenai dunia kerjaya kepada lebih 3,300 pelajar.
Dengan pelaksanaan projek AquaSustain di SK Lubok Nibong, Malaysia Airports yakin bahawa akses kepada air bersih bersama sokongan pendidikan yang berterusan akan membawa manfaat jangka panjang bukan sahaja kepada pelajar dan guru, malah juga kepada komuniti setempat secara keseluruhan.